Program Galakan Membaca

Program Galakan Membaca

Pelbagai program bagi menggalakkan aktiviti pembacaan telah dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, Perpustakaan Awam Negeri, Kementerian, Jabatan, Agensi Kerajaan dan Swasta serta institusi-institusi berkaitan untuk menarik penyertaan masyarakat dalam aktiviti pembacaan bagi menyemarak dan menyuburkan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Justeru program ini meliputi semua golongan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan keluarga.


Memupuk Minat Membaca Dari Awal dan Selepas Kelahiran

Minat membaca boleh dipupuk dan disemai ketika bayi masih dalam kandungan. Peranan ibu dan bapa ketika ini amat penting bukan sahaja memberi perhatian dari aspek penjagaan kesihatan ibu dan anak tetapi juga memberi penekanan kepada mengenali angka, huruf, nombor dan perkataan. Pendedahan sejak awal ini akan mengembangkan kemahiran membaca individu ketika kanak-kanak dan berterusan ketika melalui alam persekolahan dan pendidikan. Minat membaca seterusnya akan berlanjutan apabila meniti usia dewasa. Oleh itu minat ke atas bahan-bahan bacaan dan ilmu serta membaca perlu dipupuk dan dibajai sejak dalam kandungan.


Pembaca yang Aktif

Sesuatu teks tidak bermakna jika tiada pembacanya. Pembaca adalah individu yang berinteraksi dengan teks atau bahan audio visual yang dibaca, ditonton, dilihat dan didengar. Pembaca yang aktif adalah pembaca yang bukan hanya tahu dan pandai membaca tetapi mampu memahami maksud yang terkandung di sebalik teks dan bahan audio visual yang dibaca, ditonton, dilihat dan didengar.

0 comments:

Catat Ulasan